MUNAJJIM : SEKUTU IBLIS ‘Angkat Kisah Tentang Amalan Ilmu Hitam & Syirik’
Filem bercorak seram masih lagi menjadi kegemaran ramai dan kerap mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dalam kalangan penonton.
Kini, sebuah lagi karya seram tempatan bakal menghantui layar perak terbitan Yusrych Global Sdn. Bhd menerusi filem Munajjim: Sekutu Iblis.
Penerbitnya, Yusry Makmor berkata, filem terbaharu itu tampil dengan jalan cerita yang bukan sahaja menakutkan malah memaparkan amalan ilmu hitam dan syirik yang masih wujud dalam masyarakat moden hari ini.
“Ini bukan sekadar filem seram biasa kerana diinspirasikan daripada kisah benar dengan menyentuh tentang realiti. masyarakat yang masih bergantung kepada ilmu hitam dan bomoh dalam mencari penyelesaian mudah keEka berhadapan sesuatu masalah.
“Filem ini bukan sekadar mahu membuat penonton terhibur, tetapi memberi kesedaran bahawa amalan syirik ini sememangnya memberi impak negatif dan bersekutu dengan iblis yang jelas hukumnya adalah haram, ” ujarnya.
Munajjim: Sekutu Iblis membawa penonton menelusuri sebuah keluarga yang sangat mempercayai bomoh dalam amalan hidup mereka.

Filem Munajjim : Sekutu Iblis
Penonton akan disajikan dengan kisah seram yang tidak klise, di mana ‘pendamping’ yang ditampilkan dalam filem berkenaan adalah jelmaan hantu dan jin yang bersekutu dengan manusia untuk menyesatkan akidah mereka.
Lebih menarik lagi, filem ini turut dibintangi ramai pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Farid Kamil, Uqasha Senrose, Che Puan Juliana Evans, Mustaqim Bahadon Sherrie Merlis serta adik Daniel Aqil.

Farid Kamil sebagai Ayden
Menjalani penggambaran sekitar Januari 2025 di beberapa lokasi di Selangor, Munajjim:Sekutu Iblis adalah idea asal daripada Yusry Makmor sendiri bersama Zafran Aziz dan Rozita Mat Isa.
Sementara itu, Faizul A. Rashid pula menyatakan naskhah arahannya itu tidak seperti filem seram yang streotaip seperti kemunculan pontianak atau pocong.
“Filem ini menampilkan keseraman yang lebih mendalam dan berunsur realiti serta diadun dengan visual sinematik serta jalan cerita yang kuat dan penuh mesej. “Kami percaya filem ini bukan sahaja akan memberi pengalaman sinematik yang memuaskan,tetapi mengajak penonton berfikir tentang bahaya dan realiti amalan khurafat dalam kehidupan yang masih berlaku sehingga sekarang,” ujarnya.

Munajjim: Sekutu Iblis dengan kerjasama syarikat gergasi TGV edaran antarabangsa oleh D’Ayu Pictures melalui sokongan promosi Empire Solutions bakal menemui penonton dan menggegarkan pawagam seluruh negara pada 31 Julai 2025.
Munajjim: Sekutu Iblis
#munajjimsekutuiblis.