LAKNAT : FILEM SERAM PSIKOLOGI BERMULA JUN INI
Filem seram psikologi LAKNAT tampil dengan pendekatan promosi luar kotak yang menakutkan — bukan di layar terlebih dahulu, tetapi di jalanan, melalui kempen e-hailing, peraduan interaktif dan kejutan visual secara langsung.
Kisah filem ini membawa penonton menelusuri tragedi kehilangan Laila, yang membawa kemunculan iblis sebagai ‘penolong’. Didorong rasa bersalah dan kesedihan, Luth menerima tawaran yang mengaburkan sempadan realiti dan tipu daya, sehingga menjerat dirinya dalam kematian dan penderitaan orang sekelilingnya — semuanya permainan syaitan.
Pengarah Saw Teong Hin menyifatkan filem ini sebagai “ujian visual dan emosi terhadap kepercayaan manusia,” dan kempen promosi ini bertujuan menjadikan penonton turut mengalami gangguan itu sebelum filem memasuki pawagam.
“Melalui promosi unik ini, kami ingin penonton merasai bayangan gangguan itu lebih awal sebelum masuk ke pawagam. Tak lupa juga pada rakan pengedaran dan pemasaran kami, D’Ayu Pictures, yang menjayakan kempen ini dari jalanan ke layar lebar.” ujarnya.
Menariknya, promosi LAKNAT juga menolak batas kebiasaan. Bermula pada 11 April lalu, pihak produksi melancarkan kempen promosi luar kotak yang berjalan terus di tengah-tengah masyarakat.

Pelancaran Iklan Kenderaan Bergerak Stiker Filem “Laknat – Taat Dalam Derhaka”
Pengarah filem, Saw Teong Hin, menggambarkan LAKNAT sebagai karya sinematik yang sarat dengan lapisan simbolik serta kejutan psikologi yang mampu mengganggu emosi penonton.
“Filem ini merupakan sebuah perjalanan visual dan emosi yang mencabar batas kewarasan serta kepercayaan seseorang terhadap apa itu realiti. Hasrat kami adalah agar penonton dapat merasai gangguan tersebut sebelum pun mereka melangkah ke dalam panggung,” ujarnya.

Poster rasmi filem “Laknat – Taat Dalam Derhaka”
Filem ini dibintangi oleh barisan pelakon hebat tanah air seperti Puteri Balqis, Aeril Zafrel, Amerul Affendi, Umie Aida, Jalil Hamid, dan Noorkhiriah, termasuk penampilan istimewa Sofia Jane, yang dijangka memainkan peranan penting dalam menghidupkan naskhah penuh konflik batin dan unsur mistik ini.
Menjelang tayangan umum, pihak produksi telah menjalankan kempen promosi bersemuka berskala besar yang bersifat kreatif dan unik, bagi memperkenalkan LAKNAT secara langsung kepada khalayak ramai.
Dari segi pelaksanaan, kempen promosi LAKNAT digerakkan secara fizikal melalui pendekatan kreatif di lapangan. Sebanyak 10 buah kereta e-hailing telah dipilih dan dihias dengan stiker khas bertemakan filem, menjadikan ia elemen bergerak yang mencuri perhatian.
Tiga pasukan promosi turut dibentuk, melibatkan gabungan artis, promoter, juruvideo dan pemandu, yang bersama-sama menjayakan aktiviti promosi ini. Mereka bergerak ke kawasan tumpuan awam, termasuk lokasi strategik seperti Mydin Subang Jaya dan kawasan sekitarnya.
Aktiviti ini berlangsung selama tiga jam, bermula dari Kekos Coffee Café di Bandar Baru Bangi, sebelum menjelajah ke destinasi-destinasi utama untuk mendekatkan lagi filem ini kepada khalayak secara langsung.
Sebagai tambahan, kempen interaktif “Spot, Snap & Win” yang berlangsung dari 11 April hingga 24 Mei turut memberi peluang kepada orang awam untuk memenangi tiket eksklusif ke malam gala tayangan perdana filem ini.

Laknat Spot,Snap & Win “Menangi Hadiah Percuma”
Sepanjang tempoh kempen, orang ramai diajak menyertai peraduan interaktif “Spot, Snap & Win”, di mana mereka perlu mencari kereta misteri yang dihiasi pelekat filem LAKNAT, mengambil gambar dan memuat naik ke media sosial bersama tanda pagar yang ditetapkan. Penyertaan ini memberi peluang untuk memenangi tiket tayangan percuma dan jemputan eksklusif ke malam gala tayangan perdana.
Setakat ini, 10 pemenang telah diumumkan, dan masih berbaki 20 tiket eksklusif yang menanti untuk dimenangi, lengkap dengan peluang berjalan di karpet merah bersama para pelakon utama.
Dengan strategi promosi yang berani, visual penuh gangguan psikologi, dan penceritaan yang menimbulkan persoalan terhadap realiti, LAKNAT bersedia menghantui pawagam seluruh Malaysia bermula 5 Jun 2025.
Apakah gangguan yang dialami Luth benar-benar datang dari alam lain, atau sekadar manifestasi dari jiwa yang semakin rapuh?. Segala jawapan menanti — hanya di layar perak.