FILEM LIMBUNGAN BERJAYA MANFAATKAN GERAN FINAS DENGAN SEMPURNA

 

Tahniah buat Syarikat LIL Studio Sdn Bhd yang merupakan penerima geran FINAS di bawah program Dana Kandungan Digital tahun 2023. Dana Kandungan Digital (DKD) yang kini dikenali Dana Kandungan Kreatif (DKK) adalah kesinambungan daripada Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) sebelum ini. FINAS dan Kementerian Komunikasi telah menjalankan pelbagai usaha dan menyusun strategi bagi meningkatkan daya saing industri kreatif sebagai pemangkin utama ekonomi negara. Industri kreatif berpotensi menjana ekonomi berpendapatan tinggi di samping memartabatkan budaya bangsa.

 

LIL STUDIOS SDN BHD dimiliki oleh dua orang anak muda Fazli Yasin (45 tahun) dan Mohammed Ilham Kamil (38 tahun), memulakan dengan perkhidmatan teknik kesan khas yang dikenali visual effect (VFX), special effect (SFX), dan computer-generated imagery (CGI) atau disebut Imej Janaan Komputer untuk beberapa filem tempatan dan juga beberapa di negara luar seperti di Singapura.

 

“Saya amat sayangkan industri filem Malaysia dan saya ingin lihat sektor penerbitan ini benar-benar menjadi sebuah industri yang menjadi salah satu penyumbang utama kepada ekonomi negara,” ujar Fazli.

 

Beliau merupakan penerima anugerah di Singapura, Best Visual Or Special VFX In TV Series or Feature Film bagi drama siri bertajuk Distopia terbitan MediaCorp Singapura pada tahun 2021.

 

Setelah menghasil filem pertama bertajuk HANI dengan penggunaan modal syarikat, LIL STUDIOS telah menerbitkan sebuah filem bertajuk HANI pada tahun 2022. Namun, disebabkan kesuntukan bajet pada ketika itu, filem itu kurang mendapat sambutan. Fazli, yang berlatarbelakangkan sebagai seorang engineer robotic, sangat optimis bahawa penghasilan produk filem tempatan harus berubah mengikut teknologi yang telah lama digunakan oleh filem-filem luar. Apabila ditanya bagaimana filem Limbungan ini berjaya menambat hati juri DKD, Fazli menjawab

 

“Pada awalnya saya agak risau untuk bersaing dengan syarikat yang lebih besar dan ternama. Selain mempunyai jalan cerita yang menarik, kita perlu berusaha menunjukkan kemampuan kita untuk visualkan cerita kita, jadi, dengan itu saya menyediakan storyboard dan video pendek yang memberikan keyakinan pada juri menilai permohonan saya.” – Fazli

 

Fazli turut berkongsi tips kepada yang lain agar mementingkan sesi pitching dan pastikan tidak mengambil video daripada mana-mana dijadikan sebagai video pilot atau look and feel.

 

Filem yang bakal ditayang bermula 6 Februari 2025 ini telah berjaya mendapat geran sebanyak RM1 juta hasil daripada pembentangan yang terpuji. Nilai tersebut telah ditambah dengan RM700 ribu untuk tambahan penggambaran serta RM300 ribu untuk pengedaran dan pamasaran.

 

“Limbungan telah siap sepenuhnya dengan jumlah perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM2 juta dan saya bersama partner saya amat berterima kasih kepada FINAS yang memilih kami sebagai salah satu penerima DKD dengan nilai geran RM1 juta, dan alhamdulillah kami telah menggunakannya sebaik mungkin dengan menambah nilai produksi untuk filem Limbungan ini.” – Ujarnya lagi.

Dana Kandungan Kreatif adalah bertujuan:

 

  • Menggalakkan penggiat industri dalam penghasilan, penerbitan dan penyebaran kandungan kreatif yang berdaya cipta tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa.
  • Membangunkan modal insan yang bermutu secara lestari bagi mengoptimumkan potensi industri kandungan kreatif.
  • Menghasilkan harta intelek (IP) Malaysia yang berdaya saing.

 

Ketika di malam gala filem Limbungan yang diadakan pada 27 Januari lepas, rata-rata penonton yang hadir memberikan pujian terhadap filem ini kerana 90% lokasi penggambaran adalah di dalam studio dengan menggunakan teknik bigatures. Filem dan teknologi seharusnya telah diguna pakai di filem tempatan seperti di Hollywood. Ia dapat menambah nilai pada filem tersebut dan tidak akan berlaku pembaziran.

 

“Saya menggunakan studio sebagai lokasi utama, bayangkan jika saya menggunakan lokasi sebenar dalam hutan, saya percaya akan banyak belanja. Pertama saya harus bayar kepada pihak berwajib sebelum memasuki hutan, kedua bayaran penggunaan anggota keselamatan, ketiga bayaran penggunaan anggota kecemasan, sewaan tandas bergerak, sewaan lampu yang besar bersama janakuasa dan banyak lagi. Tapi bila saya menggunakan studio saya boleh jimat dengan semua tu sebab apa yang saya belanja tu saya nak nampak kat gambar (filem).” – Menurut Fazli lagi.

 

Beliau juga tidak akan menolak sekiranya ada pihak tertentu ingin bekerjasama dengannya untuk menghasilkan karya dengan penggunaan teknologi atau kemahiran seperti yang diguna pakai dalam produksi di Hollywood seperti penggunaan Virtual Production.

 

“Orang kita (Malaysia) mampu buat sama seperti mereka, kita ada kepakaran namun tidak diberi pendedahan ke arah itu kerana penerbit sendiri bimbangkan hal perbelanjaan. Sebenarnya tidak, perbelanjaan sama cuma jika pakai lokasi sebenar banyak duit akan ke lain, tapi dalam studio kita boleh fokus pada babak dalam cerita.” – Ujarnya lagi.

 

Ujarnya lagi yang juga memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Robotic di UTM Skudai dari 1998 hingga 2001 dan selepas itu pernah bergelar engineer selama 18 tahun di salah sebuah syarikat pembuatan telefon bimbit terkenal.

Virtual Production atau produksi virtual adalah teknologi yang menggantikan layar hijau atau biru yang biasanya digunakan dalam pembuatan filem atau siri. Teknik yang biasanya digunakan oleh para penggiat filem adalah teknik 3D rendering, penggunaan avatar, dan The Volume.

 

Teknik dalam Virtual Production menggabungkan dunia digital dengan dunia nyata secara real-time. Dengan teknologi ini, para penggiat filem boleh membuat visual filem menjadi tanpa batas sehingga mampu menciptakan filem yang sesuai harapan.

 

“Saya amat berterima kasih kepada FINAS atas kepercayaan yang diberikan dengan meluluskan geran DKD buat filem ini. Semua urusan bersama FINAS berjalan dengan lancar daripada awal hingga selesai tanggungjawab saya menyerahkan milestone terakhir,” ujar Fazli.

 

Harapan Fazli adalah ingin mendapat perhatian FINAS untuk fokus kepada teknologi dalam filem seperti penggunaan robotic dan animatronic (untuk membentuk sesuatu imej seperti seekor binatang). Kita perlu berubah ke arah lebih maju, bukannya hanya berada di tahap yang sama.

SINOPSIS FILEM LIMBUNGAN

 

Limbungan mengisahkan Ramli dan Malik, dua pekerja Syarikat Maju Jaya, yang dihantar ke Kampung Limbungan pada tahun 1975 untuk menyelesaikan rundingan tanah bagi pembinaan stesen hidroelektrik. Namun, penduduk kampung enggan melepaskan tanah warisan mereka, tambahan pula kampung itu dihantui harimau jadian yang muncul setiap gerhana bulan berdarah. Ketibaan Ramli dan Malik pada masa yang salah membawa mereka ke dalam konflik getir, di mana mitos dan realiti bersatu dalam suasana penuh ketegangan.

 

PELAKON UTAMA

  • Kodi Rasheed – Ramli
  • Amerul Affendi – Malik

PELAKON PEMBANTU

  • Cat Farish – Pak Embong
  • D’ Boy Hamdan – Salleh
  • Azan Addin – Awang
  • Bohari Ibrahim – Tok Ketua/Andak
  • Nor Albaniah – Nek Maimun
  • Chacha Maembong – Zubaidah
  • Nur Cinta Maryam Mohd Izzat – Rogayah
  • Fifie Hadi – Senah
  • Juhri M. Yasin – Tuan Marzuki
  • Zainal Isa – Karim

PRODUKSI

  • Terbitan – LIL Studios Sdn. Bhd.
  • Penerbit – Ilham Kamil
  • Penerbit Eksekutif – Juhri M. Yasin
  • Pengarah – Fazli Yasin
  • Skrip – Fazli Yasin & Rohaya Halid
  • Pengarah Seni – Zairi Yasin
  • Pengarah Fotografi – Fazli Yasin

Post a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *