
FILEM TERBARU ARAHAN SYAFIQ YUSOF BAKAL MENCETUS FENOMENA SOLOZ : GAME OF LIFE
Kisah Benar Kejayaan: Inspirasi Mengejar Impian Dan Cita-cita Sentuhan Unik Syafiq Yusof Dalam Genre Berbeza. Penggemar filem dan peminat tegar permainan video mudah alih, khususnya Mobile Legends: Bang Bang, pasti teruja kerana Key Billions Sdn. Bhd. mempersembahkan Soloz: Game of Life, yang akan menemui peminat di pawagam seluruh negara pada 23 Januari 2025. Di bawah arahan Syafiq Yusof, seorang pengarah muda yang telah berjaya membina reputasi cemerlang dalam industri perfileman tanah air, filem ini menjanjikan pengalaman yang segar dan berbeza.


Syafiq Yusof, dikenali dengan kebolehannya menarik hati penonton melalui naratif yang kuat dan visual yang mengagumkan, sekali lagi membuktikan kemahirannya dalam mengendalikan genre baharu ini. Menonton Soloz: Game of Life adalah seolah-olah menelusuri helaian kisah kehidupan seorang insan yang menjadikan minat sebagai kerjaya, mengolah cabaran menjadi peluang, dan impian menjadi kenyataan. Dengan elemen inspirasi dan dedikasi yang begitu kuat, filem ini dijangka bukan sahaja menghiburkan tetapi juga memberi motivasi kepada penontonnya. Key Billions Sdn. Bhd percaya bahawa filem ini akan menjadi satu fenomena dalam industri perfileman Malaysia dan berharap agar ia dapat memberi ilham kepada generasi muda untuk terus mengejar cita-cita dan impian mereka tidak kira seberapa besar halangan yang perlu dihadapi.
Menariknya, filem ‘Soloz: Game of Life’ menyaksikan pelakon muda yang sedang meningkat naik, Hun Haqeem diberi tanggungjawab besar dengan membawakan watak Soloz. Pemilihan ini dirasakan amat sesuai kerana wajah Hun Haqeem memiliki iras dengan watak Soloz yang asal. Barisan pelakon lain yang turut memantapkan filem ini termasuklah Ikmal Amry, Jaa Suzuran, Hafeez Mikail, Imran Aqil, Syafie Naswip, Wafiy A’an, Noki K-Clique, Fimie Don, Kahoe Hon, Nia Atasha, Ezra Kairo, Fauzi Nawawi, Lisdawati, Arash Mohamad, Anne Abdullah, Luis Amante Penero, Jihaa Sham, Zic Empty Page, Erakad, Gbril dan ramai lagi. Penampilan istimewa cameo oleh Datuk Remy Ishak dan Azizah Mahzan, menambah daya tarikan cerita ini.
Filem ini, yang diangkat daripada kisah benar perjalanan hidup seorang ikon E-sukan tanah air, Muhammad Faris Zakaria atau lebih dikenali sebagai Soloz, menawarkan sesuatu yang amat istimewa. Soloz bukan sekadar nama yang dikenali dalam arena E-sukan, beliau merupakan simbol keberanian dan ketabahan dalam mengejar impian. Dari seorang pemuda biasa dari Seremban, Negeri Sembilan, Soloz telah mengharungi pelbagai cabaran sebelum berjaya mengukir nama sebagai pemain E-sukan profesional dalam dunia Mobile Legends: Bang Bang. Apa yang membuatkan Soloz: Game of Life berbeza daripada filem-filem lain adalah pendekatannya yang mengangkat tema E-sukan dengan begitu mendalam. Soloz dalam dunia E-sukan, di mana beliau adalah antara pemain profesional terawal Mobile Legends: Bang Bang dari Malaysia. Populariti Soloz melonjak bukan hanya kerana bakatnya, tetapi juga kerana menjadi pelopor dalam permainan ini sejak dilancarkan oleh Moonton pada September 2016. Kejayaannya memuncak ketika beliau mewakili Malaysia dalam Sukan SEA Filipina 2019 dan berjaya merangkul pingat gangsa.
“Ia satu idea yang segar dan memberikan kelainan kepada penggemar filem tempatan. Mengikut kajian, permainan video Mobile Legends: Bang Bang mencatat purata pemain seramai 110 juta orang setiap bulan di seluruh dunia,” kata Rahila Ali.
Seiring dengan itu, keputusan telah dicapai untuk melantik Syafiq Yusof sebagai pengarah filem ini, dan beliau bersemangat menyahut cabaran tersebut. Syafiq tampil dengan idea menarik untuk mengarahkan genre yang agak berbeza daripada karya-karya sebelumnya. Ternyata, beliau telah melakukan usaha yang terbaik untuk menghasilkan filem “Soloz: Game of Life.”
“Filem ini diinspirasikan daripada kisah benar tentang perjalanan seorang remaja yang dikenali sebagai Soloz dalam menghadapi cabaran dan liku hidup sebagai pemain E-Sukan profesional. Filem ini mengeksplorasi cita-cita anak muda, semangat setia kawan, dan kasih sayang ibu bapa,” ujar Syafiq.
Filem Soloz: Game of Life mendapat kerjasama daripada pihak Moonton bagi memastikan jalan cerita dan konsepnya tidak lari daripada visi asal. Pengarah filem, Syafiq, menekankan aspek teknikal dan elemen permainan video melalui perbincangan dengan Moonton untuk memastikan segala garis panduan permainan diikuti dengan betul. Dalam penghasilan filem ini, Syafiq memperkenalkan elemen kesan khas melalui imej janaan komputer (CGI) dengan kerjasama Frame Motion Studio. Sementara itu, Skop Productions bertindak sebagai pengedar rasmi filem ini. Pelancaran Malam Gala Premier Soloz: Game of Life yang diadakan di Starling Mall PJ berlangsung meriah dengan kehadiran ramai pelakon, tetamu undangan khas, dan wakil media yang tidak sabar menyaksikan hasil karya terbaru Syafiq.