
ABU SI RAKSASA ‘KISAH EPIK SALAMANDER GERGASI, FILEM KAIJU PERTAMA MALAYSIA!’
Dalam industri Filem tempatan, karya bergenre sains fiksyen masih jarang dihasilkan, tidak seperti genre seram, aksi dan komedi yang lebih mendominasi pawagam. Namun begitu, syarikat produksi M Toons Media Sdn. Bhd. mengambil pendekatan dengan menghasilkan sebuah filem sains fiksyen berjudul Abu Si Raksasa.
“Idea filem ini tercetus daripada perbincangan bersama Profesor Dr. Hezri Adnan, seorang ahli akademik dalam bidang alam sekitar. Perbincangan tersebut kemudiannya menjadi ilham untuk kami menghasilkan sebuah naskhah sains fiksyen yang mengangkat isu alam sekitar melalui filem ini,” ujar Penerbitnya, Zamin Fakry.
PENERBIT ABU SI RAKSASA ZAMIN FAKRY
Abu Si Raksasa mengisahkan tentang seekor cicak salamander peliharaan Zaara yang diberi nama Abu. Akibat pencemaran bahan kimia daripada pencuci jamban berjenama ROXCCID di sebuah empangan, Abu mengalami mutasi lalu membesar menjadi makhluk gergasi. Demi menyelamatkan Abu daripada ancaman pihak berkuasa yang diketuai Kolonel Zamrose dan Kapten Fayyad, Zaara bersama dua rakannya, Sofiyan dan Zidan, bergabung tenaga dalam sebuah perjuangan penuh cabaran.
ZAARA DAN SOFIYAN
Menurut Zamin, apa yang menariknya tentang filem ini adalah ia merupakan filem ‘Kaiju’ (RAKSASA) pertama yang dihasilkan di Malaysia. “Sebelum ini sudah banyak genre seperti seram, aksi dan komedi yang dipaparkan. Jadi, kami cuba untuk menampilkan kelainan menerusi filem Abu Si Raksasa. Jalan ceritanya juga telah diolah mengikut kesesuian masyarakat di negara ini dan ia merupakan sebuah filem yang cukup menarik untuk ditonton,” jelasnya. Diarahkan oleh Ramdan Che Hassan, Abu Si Raksasa menampilkan barisan pelakon popular seperti Sophia Al-Barakbah, Jaa Suzuran, Zalif Sidek, Afieq Shazwan, Azhar Sulaiman dan Maria Farida. Menurut penerbit, Zamin, kira-kira RM2 juta telah diperuntukkan bagi merealisasikan penerbitan filem ini, termasuk pelaburan besar dalam aspek CGI dan VFX bagi memastikan mutu visual setanding produksi antarabangsa.
Barisan pelakon-pelakon, pengarah dan penerbit filem Abu Si Raksasa
“Boleh dikatakan ia adalah bajet yang agak terhad, namun produksi telah cuba buat sebaik mungkin dan kami berterima kasih kerana mendapat dana daripada pihak Kementerian Komunikasi dan Finas bagi menjayakan pembikinan filem ini,” ujarnya. Pengarah merangkap penulis skrip, Ramdhan, memilih cicak salamander sebagai tunjang penceritaan kerana keunikan spesies tersebut yang bersifat amfibia, mampu membesar hingga saiz luar biasa dan tidak bersifat ganas, sekali gus dirasakan sesuai untuk diangkat dalam kisah Abu Si Raksasa. Jelasnya, filem ini menjalani penggambaran pada September 2023 di sekitar Lembah Klang, termasuk Tasik Tadom, Kajang, Banting dan Sungai Buaya.
Sekitar Lembah Klang, termasuk Tasik Tadom, Kajang, Banting dan Sungai Buaya
Dalam pada itu, Ramdhan juga mengakui menghasilkan filem Abu Si Raksasa ini turut memberikan cabaran tersendiri buat dirinya. “Paling utama adalah kami perlu membuat kajian yang cukup mendalam sebelum penggambaran bermula. “Imaginasi yang mantap juga memainkan peranan yang cukup penting, apatah lagi ia membabitkan kira-kira 40 peratus CGI,” ujarnya. Filem Abu Si Raksasa bakal menemui penonton dan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 11 September 2025.
Official Poster ABU SI RAKSASA
Abu Si Raksasa
#abusiraksasa