TIKET SEHALA DIRAIKAN DALAM MALAM GALA, BAKAL TEMUI PENONTON DI PAWAGAM 6 OGOS

KUALA LUMPUR, 29 Julai 2026 – Filem survival thriller terbitan Key Billions Sdn. Bhd., Tiket Sehala, diraikan menerusi Majlis Gala Premiere yang berlangsung hari ini di TGV Cinemas, Sunway Pyramid, menjelang tayangan rasminya di pawagam seluruh negara bermula 6 Ogos 2026.
Majlis ini menghimpunkan barisan pelakon, tenaga produksi, rakan kerjasama, tetamu jemputan serta pengamal media bagi menyaksikan tayangan perdana filem arahan dan terbitan Rahila Ali itu. Membawa isu penipuan pekerjaan (job scam) dan pemerdagangan manusia yang diinspirasikan daripada realiti yang berlaku dalam masyarakat, Tiket Sehala mengetengahkan sebuah kisah survival yang bukan sahaja sarat dengan emosi, malah membawa mesej mengenai harapan, pengorbanan dan nilai sebuah kebebasan.
Keistimewaan majlis gala hari ini turut diserikan dengan kehadiran barisan pelakon tempatan dan antarabangsa yang terlibat dalam Tiket Sehala. Filem ini menghimpunkan pelakon dari Malaysia, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia, selain menjalani penggambaran di Malaysia serta Korea Selatan.

BARISAN PELAKON FILEM TIKET SEHALA
Menurut pengarah dan penerbit Rahila Ali, penganjuran majlis gala ini menjadi satu detik yang cukup bermakna selepas hampir setahun melalui proses pembikinan filem berkenaan.
“Selepas melalui perjalanan yang panjang untuk menyiapkan Tiket Sehala, akhirnya kami dapat berkongsi filem ini bersama penonton. Hari ini sangat bermakna buat kami kerana ia merupakan hasil usaha dan komitmen seluruh pasukan yang terlibat sejak awal pembikinan. Kami berharap filem ini dapat membuka mata penonton terhadap realiti yang mungkin tidak ramai sedari. Jika penonton keluar dari pawagam dengan rasa lebih peka dan lebih berhati-hati terhadap isu ini, itu sudah cukup bermakna buat kami,” katanya.
Rahila turut mengakui pembikinan Tiket Sehala bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan sebahagian besar penggambaran dijalankan di Korea Selatan. Menurutnya, antara cabaran yang dihadapi termasuk urusan permit, logistik, faktor cuaca serta penyelarasan antara pasukan produksi Malaysia dan Korea Selatan yang mempunyai budaya kerja yang berbeza.
“Sudah tentu ada perkara yang tidak berjalan seperti dirancang dan ada masanya kami terpaksa membuat keputusan dalam tempoh yang singkat. Namun, bagi saya setiap cabaran adalah sebahagian daripada proses menghasilkan sesebuah filem. Apa yang paling saya syukuri ialah komitmen seluruh pasukan produksi. Tanpa usaha dan kerjasama mereka, filem ini tidak mungkin dapat disiapkan sehingga berjaya dipersembahkan kepada penonton hari ini,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Eddie Yap berkata, isu penipuan pekerjaan dan pemerdagangan manusia masih berlaku di banyak negara, termasuk membabitkan rakyat Malaysia. Beliau berharap filem ini dapat menjadi salah satu medium untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap risiko sindiket penipuan pekerjaan.
“Kita sering melihat laporan mengenai rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara. Menerusi Tiket Sehala, kami berharap masyarakat akan lebih berwaspada dan membuat semakan sewajarnya sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan. Kami juga berharap filem ini bukan sahaja memberikan pengalaman menonton yang mendebarkan, malah meninggalkan kesedaran bahawa setiap keputusan yang dibuat boleh membawa kesan yang besar terhadap kehidupan seseorang,” katanya.

Tiket Sehala mengisahkan sekumpulan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan ketika mencari rezeki di Korea Selatan. Tanpa diduga, mereka terperangkap dalam satu situasi yang mengubah kehidupan mereka dan memaksa mereka membuat pilihan yang tidak pernah dibayangkan.
Filem ini dibintangi oleh Noki K-Clique, Jaa Suzuran, Sharifah Sakinah, Sheila Mambo, Ardell Aryana, Hasnul Rahmat, Zaki Yamani, Ainee Mustafa dan Saha Champ, selain menampilkan barisan pelakon antarabangsa dari Korea Selatan, Thailand dan Indonesia.
Dengan gabungan barisan pelakon tempatan dan antarabangsa, penggambaran di Malaysia serta Korea Selatan, dan kisah yang diinspirasikan daripada isu semasa, Tiket Sehala bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 6 Ogos 2026.

SINOPSIS
Tiket Sehala membawa penonton menyusuri kisah gelap tentang sekumpulan pekerja warga Malaysia yang terperangkap dalam satu sistem pemerdagangan manusia yang kejam di Korea Selatan. Alif, Putri dan Taqy menjadi mangsa sindiket yang mengambil kesempatan atas keterdesakan hidup manusia. Setibanya di Korea Selatan, mereka mendapati tiada kilang, tiada gaji lumayan dan tiada jalan keluar. Sebaliknya mereka dipaksa bekerja di sebuah ladang bawang terpencil di bawah kawalan dua beradik, Jae Soo dan Ha Joon.
Official Poster TIKET SEHALA
TIKET SEHALA
#tiket sehala