KONTROVERSI ‘MADU ATAU RACUN’ BUKAN SEKADAR ISU KANDUNGAN, INDUSTRI TEMPATAN PERLU PADANG PERMAINAN YANG ADIL
Kontroversi drama Madu Atau Racun berhubung kandungan sensitif tidak seharusnya berakhir dengan menyalahkan penerbit, pelakon, kru atau Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), sebaliknya perlu membuka perbincangan lebih besar mengenai kawal selia kandungan over-the-top (OTT) dan masa depan industri tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif D Ayu Pictures Sdn Bhd, Azaromi Ghozali, berkata masyarakat berhak menyuarakan kebimbangan terhadap kandungan yang menyentuh sensitiviti agama, budaya dan norma masyarakat, namun kecaman perlu dibuat berdasarkan fakta serta pemahaman terhadap bidang kuasa pihak yang terlibat.
“Saya faham kenapa netizen marah. Saya juga akui kandungan sebegini bukan sesuatu yang bagus. Tetapi sebelum kita menyalahkan mana-mana pihak, kita perlu faham dahulu siapa yang bertanggungjawab terhadap kandungan tersebut. FINAS dan LPF mempunyai fungsi serta bidang kuasa masing-masing dan tidak terus menunding jari terhadap kedua pihak ini.”
Menurut Azaromi, perkembangan pesat platform OTT telah mengubah landskap industri kandungan dengan penonton kini mempunyai akses kepada pelbagai kandungan melalui platform penstriman.
Beliau berkata keadaan itu memerlukan kerajaan melihat semula mekanisme kawal selia kandungan OTT supaya terdapat garis panduan yang jelas kepada platform, penyiar dan penggiat industri.
“Kita tidak boleh tunggu sesuatu kandungan menjadi viral, kemudian baru semua pihak gelabah untuk bertindak. Sepatutnya garis panduan itu sudah ada.”
“Saya mencadangkan kerajaan mewujudkan satu Garis Panduan OTT Nasional supaya jelas apakah kandungan yang boleh ditawarkan kepada penonton Malaysia, bagaimana ia perlu diklasifikasikan dan apakah tanggungjawab platform yang menyiarkannya.”
Pada masa sama, beliau berkata platform OTT perlu turut memikul tanggungjawab melalui mekanisme kawalan kendiri seperti klasifikasi umur, amaran kandungan, kawalan ibu bapa, proses semakan dan saluran aduan.
“Kita bukan mahu menyekat OTT atau membunuh kreativiti. Kita mahu OTT turut memegang amanah dan prinsip undang-undang penyiaran Malaysia. Kalau platform menjadi saluran kandungan kepada masyarakat Malaysia, mesti ada tahap tanggungjawab yang sepadan dengan pengaruhnya.”
Industri tempatan berdepan gelanggang yang tidak seimbang
Azaromi berkata isu OTT turut perlu dilihat daripada sudut kelangsungan industri tempatan yang kini berdepan persaingan sengit untuk mendapatkan perhatian penonton.
Menurutnya, sebahagian kandungan OTT mampu menawarkan elemen yang lebih berani dan ekstrem, sedangkan penerbit serta penyiar tempatan beroperasi dalam lingkungan garis panduan yang berbeza.
“Kita kena jujur mengakui bahawa OTT adalah pesaing besar kepada penyiar tempatan. Penonton mempunyai pilihan kandungan yang jauh lebih luas dan sebahagiannya lebih ekstrem.
“Persoalannya, bagaimana pemain industri tempatan mahu terus berjuang kalau padang permainannya tidak seimbang? Saya tidak kata kita perlu menghasilkan kandungan ekstrem seperti OTT. Tetapi peraturan dan tanggungjawab mesti jelas serta adil kepada semua pihak.”
Beliau turut menasihatkan penerbit, pelakon, pengarah dan kru supaya lebih berhati-hati dalam mempertimbangkan tawaran kandungan, dengan mengambil kira bukan sahaja bayaran dan populariti tetapi juga kesannya kepada masyarakat.
Azaromi pada masa sama menyeru netizen supaya tidak menjadikan kontroversi tersebut sebagai medan pergaduhan di media sosial.
“Yang lebih penting ialah kita gunakan isu ini untuk memperbaiki sistem, bukan sekadar mencari siapa yang mahu dipersalahkan.”
Beliau menegaskan kontroversi Madu Atau Racun seharusnya menjadi peluang untuk semua pihak memperbaiki ekosistem kandungan negara.
“Hari ini kita bercakap tentang satu drama. Esok mungkin drama lain. Kalau kita terus menunggu sehingga sesuatu kandungan menjadi viral, kita akan sentiasa terlambat.
“Kita tidak mahu isu ini berakhir dengan FINAS dipersalahkan, penerbit dikecam dan artis diserang. Selepas beberapa hari, isu reda dan kita lupa semuanya — sehingga kontroversi yang sama berlaku lagi.
“Kita bukan mahu menyekat. Kita mahu keadilan, tanggungjawab dan padang permainan yang adil untuk semua.”
— TAMAT —
Dikeluarkan oleh:
Azaromi Ghozali
Ketua Pegawai Eksekutif
D Ayu Pictures Sdn Bhd