
Bisikan Dosa Masih Bertahan Dengan 91 Lokasi Pawagam Bagi Minggu Kedua
Hampir seminggu tayangan filem Bisikan Dosa yang diterbitkan oleh Yusrych Global bakal memasuki minggu kedua. Menurut Yusry yang selaku penerbit, filem ini telah mendapat sambutan hangat di minggu pertama.
“Saya tetap optimis dan percaya bahawa Bisikan Dosa bakal mendapat sambutan yang lebih hangat di minggu kedua kerana filem ini masih mendapat perhatian pawagam yang meletakkan tayangan di 91 buah lokasi pawagam seluruh Malaysia,” ujar Yusry.
Bisikan Dosa yang dibarisi pelakon hebat tanah air seperti Farid Kamil, Sara Ali, Cik Puan Juliana Evans, Uqasha Senrose, dan Sherie Merlis ini mendapat 130 lokasi pada minggu pertama namun terpaksa diturunkan kepada 91 lokasi pada minggu kedua. “Penurunan jumlah cinema ini bukan suatu yang menggusarkan saya kerana ia masih kekal relevan untuk jadi box office pada minggu kedua kerana jumlah cinema yang masih tinggi berbanding beberapa filem lain yang penurunannya hingga ke 40 atau 30 lokasi,” ujar Yusry lagi.
Filem ini mengisahkan Sarimah, lakonan Sara Ali, yang memulakan kerja sebagai pembantu rumah di sebuah rumah agam milik Aydan, lakonan Farid Kamil. Selain melakukan kerja rumah, Sarimah turut diarahkan menjaga anak kecil Aydan dan Dr. Dee, lakonan Juliana Evans. Sarimah mula dihantui oleh bisikan setelah menatap potret Zara, lakonan Uqasha Senrose, yang juga merupakan bekas isteri kepada Aydan yang meninggal dalam kebakaran. Gangguan demi gangguan yang dirasai oleh Sarimah sehinggakan dia berasa untuk bongkarkan apa yang berlaku. Filem Bisikan Dosa ini telah pun mempunyai sambungan prekualnya yang bakal ditayangkan pada penghujung Mei 2025.
“Persoalan di setiap babak membuatkan rasa ingin tahu apa yang bakal berlaku sehingga ia dijawab pada bahagian akhir cerita dan membuatkan kita puas. Namun trend filem seram sekarang apabila di akhir cerita memberikan bayangan bahawa akan ada sambungannya nanti,” kata Qamarina, 23, dari Kajang.
Yusry amat berharap agar penonton yang masih belum menonton sila segera ke pawagam berhampiran. “Saya berharap kepada penonton di luar sana yang masih belum menonton, silalah ke pawagam berdekatan dan menjadi sebahagian penonton yang merasai keseraman filem ini dengan sistem bunyi Dolby Atmos.”
Sedikit berkenaan Dolby Atmos, ia adalah salah satu teknologi bunyi sekeliling yang paling popular sekarang. Terdapat banyak pawagam yang menggunakannya bagi mengajak penonton merasai sistem bunyi sekeliling tercanggih. Ini bermakna penonton dapat merasakan bagaimana bunyi itu datang dari hampir mana-mana titik lokasi, yang mengelilingi penonton seolah-olah kita berada di tengah-tengah babak tersebut.
Oleh itu, sama-sama kita menyokong filem tempatan serta buat tempahan tiket anda untuk tayangan minggu kedua yang akan bermula esok (Khamis).