Loading...

“CETAK ROMPAK DIGITAL, SAYA AKAN AMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG” – Ketua Pegawai Eksekutif D’Ayu Pictures SB

27 Dis 2024 – “Saya akan saman mereka itulah penghujungnya” Itulah kata-kata tegas daripada Ketua Pegawai Eksekutif D’Ayu Pictures Sdn Bhd, Encik Azaromi Ghozali yang kecewa mengetahui filem WARUGA: Kutukan Ilmu Hitam, terbitan D’Ayu Pictures yang juga arahan beliau, telah tersebar di aplikasi TikTok.

Filem ini mula ditayangkan di pawagam tempatan pada 15 Februari 2024 yang lalu dan juga memasuki pasaran Asia Tenggara dengan sambutan hebat di Kemboja. “Setelah selesai tayangan pawagam, filem ini mula diedarkan ke platform tv seperti Astro First dan Netflix,” ujar Azaromi atau Romi.

Luahan kekecewaan beliau terhadap sikap segelintir individu yang sanggup merompak hasil penat lelah orang lain demi tujuan atau kepentingan tertentu dan mereka ini lebih dikenali sebagai Penjenayah Digital.

Dato’ Rosmarayu Mokhtar, Pengarah Urusan D’Ayu Pictures ketika dihubungi berkata beliau menyokong tindakan melaporkan segala kegiatan jenayah digital yang mencuri hak milik syarikat. Beliau yang ketika ini sedang berada di Jakarta atas urusan perniagaan amat terkejut setelah dimaklumkan mengenai cetak rompak digital ini.

“Memang saya menyokong tindakan Romi sekaligus menjalankan tanggungjawabnya sebagai CEO D’Ayu Pictures menjaga kepentingan syarikat. Saya harap tindakan kali ini memberikan pengajaran buat semua agar ia tidak berulang lagi di dalam industri filem Malaysia.”

Kerajaan Malaysia telah meluluskan rang undang-undang menambah baik Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang mencadangkan mana-mana individu atau perniagaan yang melakukan atau memudahkan pelanggaran hak cipta melalui teknologi penstriman akan dihukum oleh undang-undang.

Pindaan baharu itu memperkenalkan hukuman bagi kesalahan berkaitan teknologi penstriman dan mereka yang didapati bersalah akan didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM200,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya. Berikut adalah kesalahan jenayah:

  • Jualan dan promosi serta pengimportan peranti penstriman haram (ISD) yang membenarkan tontonan kandungan hak cipta.
  • Menawarkan atau mengedarkan aplikasi yang boleh dimuat turun dan membenarkan tontonan kandungan hak cipta tanpa kebenaran.
  • Mempunyai laman web yang menyediakan akses kepada karya hak cipta tanpa kebenaran.
  • Berkongsi pautan melalui WhatsApp atau platform media sosial lain yang membenarkan akses kepada karya hak cipta tanpa kebenaran.
  • Berkongsi hiperlink kepada kandungan cetak rompak di laman web.

Azaromi Ghozali juga telah pun membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baru Bangi hari ini bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap individu-individu yang terbabit. Apabila ditanya, beliau tidak mahu mendedahkan nama akaun dan pemiliknya kerana beliau selepas ini akan menyerahkan kepada pihak peguam untuk tindakan seterusnya.

“Maaf saya tidak boleh dedahkan dahulu siapa kerana selepas ini saya akan serahkan kepada pihak peguam bagi tindakan seterusnya. Cuma nasihat saya kepada perompak digital ni supaya carilah rezeki yang lebih halal daripada mencuri hak orang, kasihanilah penerbit yang mengeluarkan modal serta pekerja dan pelakon yang bersengkang mata menyiapkan cerita ini.”

Salah satu media sosial yang dikesan ini telah mendapat sambutan luar biasa dengan 1.1 juta jumlah tontonan. Menurut Romi:

“Jika 1.1 juta ni pergi menonton di pawagam, dengan pembelian tiket RM20 pastinya kutipan kasar filem ini adalah RM22 juta. Saya sedar bukan mudah untuk memuaskan hati penonton di pawagam dan sudah pastinya bukan boleh dipaksa untuk mereka keluar beli tiket dan menonton di pawagam.”

Romi turut menyifatkan bahawa ramai yang ingin menonton secara percuma tanpa mereka sedari yang perbuatan itu seumpama sedang bersubahat dengan penjenayah yang menjalankan kerja-kerja cetak rompak digital ini. Selain dari filem ini, juga terdapat beberapa filem tempatan lain yang turut menjadi mangsa yang mungkin tidak disedari oleh syarikat penerbitan terbabit.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyokong cetak rompak digital ini supaya industri filem terus berkembang dengan maju dan jaya.

Post a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *