“POLONG” LEGASI HITAM KEMBALI MENUNTUT NYAWA! BILA TAK BERTUAN…YANG TERCELA MENJADI LIAR

Kuala Lumpur, 28 Mei 2026 – Setiap dosa yang tidak ditebus pasti akan kembali menuntut harga. Polong, sebuah filem horror thriller arahan Zulkarnain Azhar, bakal menghantui pawagam seluruh negara bermula 28 Mei 2026. Mengangkat tema legasi ilmu hitam, penyesalan dan sumpah yang merentasi generasi, filem ini menjanjikan pengalaman ngeri yang bukan sahaja mengganggu emosi, malah menyentuh sisi paling gelap dalam diri manusia.
Diterbitkan oleh Golden Star Pictures Sdn. Bhd. (GSPSB) dengan sokongan pengedaran oleh 10 Star Cinemas Sdn Bhd serta kerjasama pemasaran Primeworks Studios, Polong menampilkan barisan pelakon hebat Mimi Lana, Fad Anuar, Namron, June Lojong, Amir Nafis dan Nadiya Nisaa. Filem ini menggabungkan elemen seram tradisional dengan naratif psikologi yang mendalam, menjadikannya lebih daripada sekadar kisah seram biasa.

BARISAN PELAKON FILEM POLONG
Polong mengisahkan Fatima (Mimi Lana), seorang wartawan bercita-cita tinggi yang tanpa sengaja membongkar kisah silam seorang bomoh wanita bersiri Maria Hadi (June Lojong), yang pernah cuba menebus dosa di penghujung hayatnya. Namun, pencarian kebenaran itu bukan sahaja mendedahkan jenayah lampau, malah membebaskan sesuatu yang jauh lebih berbahaya, entiti yang pernah dipelihara dan cuba dikawal oleh Maria.

Kini diburu oleh kuasa yang tidak dapat dijelaskan, Fatima terpaksa mencari perlindungan daripada Marissa (Nadiya Nisaa), anak kepada Maria yang hidup dalam pengasingan. Dalam usaha menghentikan sumpah yang semakin mengganas, Marissa berdepan dilema paling sukar iaitu menerima warisan gelap yang ditinggalkan ibunya atau mencari jalan untuk memutuskan legasi tersebut buat selama-lamanya.
“Polong cuba memperlihatkan bahawa ada warisan tertentu yang bukan membawa perlindungan, tetapi kehancuran kepada generasi seterusnya. Bagi saya, ketakutan paling besar bukan datang daripada makhluk ghaib semata-mata tetapi daripada manusia yang sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi keinginan mereka,” jelas Zulkarnain Azhar, pengarah.

Seiring itu, bayangan lampau terus menghantui memperlihatkan bagaimana dosa yang tidak diselesaikan mampu meresap ke dalam kehidupan generasi seterusnya. Sejauh mana seseorang mampu lari daripada masa lalu?
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Polong di pawagam bermula 28 Mei 2026. Bersedialah untuk berdepan dengan ketakutan yang bukan sahaja datang dari luar, tetapi juga dari dalam diri.
Official Poster POLONG
Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif Polong, ikuti kami di Facebook, Instagram, X dan YouTube Primeworks Studios.
POLONG
#polong